Kerjaya Aisha Retno

Mewarisi bidang muzik daripada ibunya yang berwarganegara Indonesia, Jean Retno Aryani yang merupakan bekas penyanyi era 1980-an sezaman dengan Hetty Koes Endang,[1] Aisha Retno mula menunjukkan minat terhadap muzik sejak berusia lima tahun dan sewaktu di bangku sekolah, beliau pernah menyertai pertandingan nyanyian. Aisha lebih menjurus kepada genre nasyid semasa sekolah rendah. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan Suara Emas sehingga peringkat kebangsaan mewakili Kuala Lumpur semasa menduduki Tingkatan 4.[1]

Kerjaya muzik profesional Aisha bermula apabila beliau mengikat kontrak bersama Sony Music Malaysia, seterusnya merakamkan single sulungnya, "Mengikat Jiwa". Dikeluarkan pada 2018, lagu ini ialah hasil nukilan komposer Indonesia, Aldi Nadi Permana dan menjalani rakaman di republik itu.[2] Pada Ogos 2020, beliau berduet bersama Yuka Kharisma menerusi lagu bertajuk "Terima Kasih",[3] selain itu, Aisha turut mengambil bahagian dalam kempen Bring The Beat anjuran Sony Music yang bertujuan menggalakkan artis naungannya untuk hasilkan lagu bagi mengembangkan daya kreatif mereka.[3] Artis yang terlibat ialah Benzooloo, Sandra Dianne dan B-Heart.[3]

Aisha paling dikenali sebagai salah seorang daripada 24 penyanyi amatur, juga dikenali sebagai Rookie dalam rancangan Vokal Mania yang disiarkan di TV3 yang turut disertai oleh Wafariena Roslan dan Afieq Shazwan. Beliau telah dinobatkan sebagai juara Rookie sementara Aina Abdul dinobatkan sebagai juara Idol.[4][5]